Duck hunt
ENAM SEBAB MANDI WAJIB

1) Bersetubuh. Setiap kali bersetubuh (jimak), maka diwajibkan mandi. Bersetubuh yang dimaksudkan ialah apabila kemaluan lelaki memasuki faraj perempuan, sekurang-kurangnya sampai ke paras kepala kemaluan lelaki, walaupun tidak keluar air mani.

2) Keluar mani. Apabila keluar mani sama ada bermimpi, melihat sesuatu yang membangkitkan nafsu atau hal yang lain, maka ia wajib mandi.

3) Selepas tamat tempoh haid. Haid ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita dewasa dan kebiasaannya seminggu (tujuh hari) dalam setiap bulan.

4) Selepas habis darah nifas. Nifas ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas bersalin atau melahirkan.

5) Selepas melahirkan (bersalin), sama ada mengeluarkan darah atau tidak.

6) Mati. Jika seorang Muslim meninggal dunia, maka dia wajib dimandikan kecuali orang yang mati syahid. Orang mati syahid tidak dimandikan sekalipun dia berlumuran darah.

RUKUN MANDI

Orang yang mandi wajib tidak diterima (sah) selagi tidak memenuhi rukun mandi yang akan disebutkan ini :

1) Menghilangkan najis dari seluruh badan.

2) Berniat. Orang yang mandi wajib hendaklah berniat ketika mula menyiramkan air ke seluruh tubuhnya. Boleh juga serentak dengan menjiruskan air ke badan.

Niat mandi wajib : "Sahaja aku menghilangkan hadas besar daripada seluruh badanku, wajib ke atas aku kerana Allah Taala."

3) Meratakan air ke seluruh badan, ertinya semua bahagian zahir badan mesti dikenakan air. Rambut, lubang pusat, celah jari jemari tangan dan kaki, malah bahagian lubang faraj (wanita) yang boleh nampak jika bertinggung, wajib dikenakan air.

SUNAT-SUNAT MANDI WAJIB

1) Mandi menghadap kiblat jika keadaan mengizinkan berbuat demikian.

2) Membasuh dan membersihkan kedua-dua tangan sebelum mandi.

3) Mengambil wuduk dan menghilangkan segala kekotoran yang terdapat di badan sebelum mandi.

4) Membaca Basmalah ketika hendak berniat mandi.

5) Membasuh bahagian sebelah kanan dahulu sebelum bahagian sebelah kiri.

6) Membaca doa selepas mandi.

ADAB-ADAB MANDI WAJIB

1) Mula-mula kita menghadapkan badan ke arah kiblat. Kemudian membasuh kedua tangan sebanyak tiga kali basuhan. Setelah itu kita beristinjak iaitu membasuh kemaluan, membuang najis dan benda yang dapat menghalang air ke kulit badan kita.

2) Setelah itu, kita berwuduk sebagaimana wuduk sembahyang. Hanya niatnya sahaja yang berbeza iaitu berwuduk untuk mandi wajib.

3) Jangan lupa membaca Basmalah ketika hendak memulakan niat mandi wajib.

4) Berusaha untuk meratakan air ke seluruh badan agar semuanya basah terkena air. Oleh itu, kita juga perlu menyampaikan air ke celah-celah jari jemari tangan dan kaki, pangkal rambut, celah janggut, lubang bahagian luar telinga, lubang hidung, membersihkan pusat dan lubang dubur.

5) Selepas itu, jika misalnya kita mandi di sungai yang ada lubuk atau kolam yang airnya lebih dari dua kolah, maka tidak dilarang terjun ke dalamnya. Lakukanlah sebanyak tiga kali sehingga benar-benar yakin bahawa seluruh badan sudah basah sambil berniat.

6) Menggosokkan tangan ke seluruh badan sejauh yang dapat dicapai oleh tangan. Maksudnya ialah untuk membasahkan seluruh anggota tubuh badan.

MAKRUH KETIKA MANDI WAJIB

1) Jangan menggunakan air dengan membazir sekalipun mandi di kolam atau sungai.

2) Seboleh-bolehnya jangan mandi di air yang tidak mengalir.

3) Jangan lupa memasukkan air ke dalam lubang hidung.

4) Jangan lupa berkumur-kumur pada awal mandi atau pada akhirnya.

Choose a Background Color: